Conte gembira kehidupan di London

in Sukan by
Antonio Conte

ANTONIO Conte mengakui kontraknya bersama Tottenham Hotspur semakin menghampiri penghujungnya, namun menegaskan dia gembira dengan suasana kehidupan di London.

“Sejujurnya saya sedang menikmati kehidupan di London, namun kontrak bersama Tottenham semakin menghampiri penghujungnya dan berkemungkinan esok atau perlawanan penghujung liga merupakan detik terakhir di sini.

“Biarpun begitu pada masa ini, perkara paling penting untuk saya dan kelab faham ialah kami mahu terus bersama dan menuju ke arah yang sama. Saya fikir ini adalah perkara yang paling mustahak.

“Namun, saya juga percaya kelab seharusnya mengeluarkan sejumlah pelaburan yang baik untuk tidak hanya mempunyai pemain berkualiti tapi juga jurulatih dan kakitangan terbaik,” kata pengendali berusia 53 tahun dari Itali itu.

Tottenham yang berada pada prestasi membanggakan dalam beberapa perlawanan awal liga kini menduduki tangga ketiga bakal berdepan kelab sensasi yang juga pendahulu liga, Arsenal dalam derbi London pada Sabtu ini.

Spekulasi timbul sejak kebelakangan mengenai kemungkinan Conte kembali ke Juventus yang kini berada pada permulaan buruk di bawah pengurus sensasi, Massimiliano Allegri.

“Pada masa yang sesuai kami akan mengambil keputusan terbaik dalam menyelesaikan isu ini, namun pada masa ini saya sangat gembira dan tidak mahu menolak tawaran kelab atau situasi lain.

“Kami baharu sahaja memulakan musim dan mempunyai masa yang lama untuk bersama, memahami dan terus bekerjasama.

“Di London, perkara yang paling penting bagi saya ialah dapat menikmati keseronokan bekerja dalam usaha mendapatkan keputusan terbaik, selain dapat bekerjasama dengan para pemain dan hubungan baik dengan pemilik, Daniel (Levy), dan Fabio (Paratici),” ujar Conte.

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

SABTU (1 Oktober)

Arsenal lwn Tottenham Hotspur, 7.30 malam

Liverpool lwn Brighton, 10 malam

Fulham lwn Newcastle United, 10 malam

Southampton lwn Everton, 10 malam

Crystal Palace lwn Chelsea, 10 malam

Bournemouth lwn Brentford, 10 malam

AHAD (2 Oktober)

West Ham United lwn Wolverhampton, 12.30 tengah malam

Manchester City lwn Manchester United, 9 malam

Leeds United lwn Aston Villa, 11.30 malam

SELASA (4 Oktober)

Leicester City lwn Nottingham Forest, 3 pagi