IBFIM, MyClass mampu lahir ramai pakar kewangan Islam

in Bisnes by

Yusry (kiri) dan Zaharuddin pada Majlis Pertukaran Perjanjian antara IBFIM dan MyClass pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama MyClass Technologies Sdn. Bhd (MyClass) sebagai usaha mengukuhkan pembangunan bakat dalam industri kewangan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, MoA tersebut merupakan antara inisiatif pihaknya untuk memperluas industri berkenaan menerusi pembelajaran dalam talian.

“MoA ini adalah kerjasama antara IBFIM dan MyClass untuk menempatkan program-program IBFIM dalam platform dalam talian MyClass kerana ia ada pengikut yang ramai dan mahu mempelajari sistem kewangan Islam.

“Selain itu Mycourse.my juga merupakan platform seiring wawasan kami dan perlu menyokong untuk memastikan ilmu kewangan Islam dapat disampaikan kepada lebih ramai orang yang mahu belajar sistem berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Perjanjian antara IBFIM dan MyClass pada Jumaat.

Dalam pada itu Yusry menjelaskan, IBFIM melalui platform e-pembelajaran MyClass iaitu Mycourse.my menawarkan 10 program berkaitan kewangan Islam yang boleh diakses tanpa had selepas pendaftaran.

Jumlah itu katanya adalah sebagai permulaan dan akan ditambah mengikut permintaan pada masa akan datang.

“Kita sasarkan bukan sahaja golongan profesional malah terbuka kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk mendapatkan pengetahuan kewangan Islam.

“Program-program IBFIM yang disediakan dalam Mycourse.my mudah diikuti dan yang penting, ilmu sampai kepada pelajar dengan mudah,” katanya.

Sementara itu pengasas MyClass Technologies Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abdul Rahman memaklumkan, program IBFIM melalui platform Mycourse.my menggunakan sistem ‘self based learning’ bagi memudahkan penuntut belajar mengikut waktu yang sesuai.

“Penuntut mahu belajar dalam talian (online) tetapi jadual yang ditetapkan tidak sesuai dengan keadaan mereka pada ketika itu, jadi mereka terlepas (pembelajaran).

“Oleh itu kami jadikan platform e-pembelajaran ini bebas dan boleh diakses pada bila-bila masa, sesuai dengan kelapangan penuntut,” jelasnya.