JDT nafi mahu pancing Muslihuddin Atiq

in Sukan by
Kenyataan media Alistair Edwards.

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan beberapa laporan media kononnya kelab itu mahu memancing pemain Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak pernah berhasrat untuk menandatangani pemain muda tersebut dan kini dalam perbincangan dengan pemain lain.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menjelaskan bahawa tiada tawaran telah dibuat kepada pemain Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

“JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani seorang pemain tempatan, tetapi pemain tersebut bukanlah Atiq.

“Kami terkejut dengan berita tentang tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq. Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran tersebut kerana tiada walau seorang pun staf teknikal termasuk saya selaku Pengarah Teknikal atau Martin Prest, Pengarah Sukan telah membuat tawaran kepada pemain tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Muslihuddin dikaitkan dengan perpindahan ke JDT apabila berjaya mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini.

Untuk rekod, dalam kejohanan Sukma baru-baru ini, beliau berjaya menjaringkan tiga gol sehingga membantu pasukan itu muncul juara.