Laporan penuh siasatan perolehan MySejahtera Selasa depan

in Nasional by
Kah Woh

IPOH – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporan penuh mengenai perolehan aplikasi MySejahtera di Parlimen pada Selasa depan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, semua prosiding terhadap isu berkenaan telah ditamatkan dan laporan juga telah dilengkapkan menerusi beberapa mesyuarat dua minggu lepas.

Menurutnya, beberapa persoalan yang dibangkitkan menerusi laporan tersebut perlu dijawab dalam Sidang Parlimen oleh kerajaan.

“Dalam prosiding MySejahtera yang telah diadakan pada 14 dan 21 April 2022 lepas, kita telah memanggil dua orang menteri sebagai saksi iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kita juga telah memanggil Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) dan pegawai kanan MKN untuk beri keterangan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sebuah restoran di Taman Ipoh, di sini pada Jumaat.

Kah Woh berkata, siasatan berhubung isu tersebut dilakukan melibatkan beberapa aspek iaitu pertama berkenaan dengan perolehan aplikasi MySejahtera iaitu pelantikan syarikat KPI Soft Sdn Bhd selaku pembangun aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, isu kedua pula membabitkan tempoh tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang ditawarkan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Pembangunan aplikasi mysejahtera sepatutnya bersifat CSR dan persoalannya kenapa sekarang kerajaan perlu membayar untuk penggunaan dan perkhidmatan MySejahtera?

“Pembayaran adalah bermula pada April 2021 sehingga sekarang seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada September yang lepas.

“Ini merupakan persoalan yang akan dijawab dalam laporan kita. Isu ketiga berhubung dengan pemilikan data, segala hak harta intelek dan juga segala pemilikan aplikasi sejahtera,” katanya.

Sementara itu, mengenai siasatan isu kapal tempur pesisir (LCS) pula, Kah Woh berkata, pihaknya akan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz pada Rabu depan.

Jelasnya, pegawai kanan kerajaan tersebut perlu memberikan maklum balas kementerian mengenai laporan LCS yang telah dibentangkan pada 4 Ogos 2022.