Malaysia julung kali terbit MGII Lestari bernilai RM4.5 bilion

in Bisnes by

Tengku Zafrul

KERAJAAN Malaysia buat julung kalinya berjaya menerbitkan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia Lestari (MGII Lestari) berjumlah RM4.5 bilion dalam pasaran domestik walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, permintaan yang kukuh terhadap MGII Lestari dibuktikan melalui lebihan langganan sebanyak 2.38 kali dengan kadar keuntungan ditetapkan pada 4.662 peratus.

Katanya, jumlah bidaan sebanyak RM10.7 bilion adalah yang tertinggi sejak Julai 2019 untuk terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)/MGII jangka panjang (sama atau lebih daripada 15 tahun).

“Permintaan yang tinggi mencerminkan keyakinan berterusan oleh pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan prospek pertumbuhan positif untuk 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, MGII Lestari berjaya menarik pelbagai jenis pelabur dan telah diagihkan kepada institusi kewangan tempatan (50.3 peratus), pelabur institusi (38.4 peratus), syarikat insurans (7.2 peratus) dan pelabur bukan pemastautin (4.1 peratus).

“Kepercayaan dan pengiktirafan pelabur bukan sahaja terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh, tetapi juga dari segi daya tahan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, terimaan terbitan MGII Lestari akan digunakan untuk membiayai atau membiayai semula perbelanjaan sosial dan hijau yang ditetapkan, seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia, sama seperti terbitan Sukuk Kelestarian USD pada 2021.

Beliau berkata, terbitan itu bukan sahaja membolehkan Malaysia memenuhi komitmen sebagai negara yang bertanggungjawab terhadap Perjanjian Paris, tetapi turut meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

“Terbitan ini membuktikan usaha kerajaan dalam mempercepatkan tindakan iklim serta peralihan ke arah negara yang makmur, inklusif dan mampan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12, 2021 – 2025,” katanya.

Katanya, terbitan itu juga adalah bukti keupayaan inovatif dan kepimpinan industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan objektif kelestarian, untuk memakmurkan seluruh Keluarga Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, terbitan MGII Lestari baharu ini dijangka dapat menarik lagi permintaan terutamanya daripada pelabur yang menguruskan portfolio kelestarian.

“Sebagai terbitan MGII kelestarian domestik yang pertama, terbitan ini merupakan penanda aras baharu dan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia,” katanya. – Bernama