Penantian lima tahun berakhir

in Edisi by
Rahimah (tengah) bersama anak, Norhayati Mohamad Zain, 41 (kanan) dan menantu, Noatiqi Rasidi, 37 (kiri) melangkah masuk ke rumah mereka selepas Majlis Penyerahan Rumah Dhuafat di Kampung Kutan Tengah pada Khamis.

TUMPAT – Penantian lima tahun warga emas, Rahimah Salleh, 71, untuk memiliki rumah baharu berakhir selepas menerima kunci kediaman itu pada Khamis.

Rahimah yang tinggal bersama dua anak dan menantu serta enam cucu bersyukur kerana dapat berpindah dari rumah lamanya yang berusia lebih 50 tahun.

Katanya, permohonan yang dibuat lima tahun lalu diterima tetapi pembinaan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

“Alhamdulillah syukur kerana kami kini dapat tinggal di rumah yang lebih selesa. Saya memohon rumah baharu kerana kediaman sebelum ini sudah uzur,” katanya.

Rahimah ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Dhuafat di Kampung Kutan di sini pada Khamis.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan.

Menurut warga emas berkenaan, sejak kematian suami 16 tahun lalu, dia membesarkan anak-anak dengan pendapatan sebagai pekerja kantin di sekolah berdekatan.

“Rumah baru tiga bilik ini membolehkan kami sekeluarga melakukan aktiviti harian dengan selesa tanpa perlu bimbang berlaku kerosakan,” katanya.