PN yakin mampu memberi tentangan hebat kepada BN

in Politik by
Hamzah (tengah) bersama kepimpinan PN Kedah pada Majlis Amanah Setiausaha Agung PN di sebuah hotel di Alor Setar pada malam Khamis.
Hamzah (kanan) dan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (dua dari kiri) bertukar jambangan bunga pada Majlis Amanah Setiausaha Agung PN di Alor Setar pada malam Khamis.

ALOR SETAR – Perikatan Nasional (PN) yakin mempunyai gabungan parti kuat yang mampu memberi tentangan hebat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN perlu memiliki strategi supaya rakyat memahami bahawa gabungan parti itu lebih baik.

Beliau juga percaya BN khususnya UMNO sukar bangkit semula selepas parti besar itu jatuh pada PRU lepas.

“Kita yakin rakyat tahu apa mereka (BN) buat, cukup-cukuplah. Dahulu di Indonesia, parti yang paling besar (Golkar) yang memerintah sebelum merdeka sampai sekarang tetapi hari ini parti itu masih besar tetapi tak boleh memerintah dah.

“Manusia badan yang besar bila jatuh, hendak bangun susah dah. Ini cerita benar, kalau besar jatuh, hendak bangun susah,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanah Setiausaha Agung PN di sebuah hotel di sini pada malam Khamis.

Hamzah berkata, nasib sama dilalui di Turkiye melibatkan Mustafa Kemal Ataturk apabila parti yang besar dan lama memerintah telah jatuh dan parti baharu yang mengambil alih.

Disebabkan itu, beliau juga yakin rakyat Malaysia telah sedar dengan apa dilakukan BN khususnya UMNO, sekali gus parti itu sukar untuk bangkit kembali menawan hati rakyat.

**media[1928034]**

“Saya yakin itulah yang kita mampu lakukan walaupun kita baru bergabung dengan abang (Pas) iaitu parti yang dilihat oleh rakyat boleh memimpin dan penuh berintegriti.

“Insya-ALLAH, kita terus memerintah bukan dua tiga tahun tetapi selama-lamanya. Itulah yang kita mahu dan kita berdoa kepada ALLAH SWT supaya menurunkan pemimpin tahu menguruskan negara dan negeri,” katanya.

Sementara itu, Hamzah menasihatkan supaya ahli-ahli parti dalam gabungan PN tidak mencanang masalah dalaman parti ke merata-rata tempat.

“Jangan cerita merata. Cerita dalam bahagian cukuplah. Ini duduk cerita merata. Bukan dalam bahagian, (malah) seluruh Kedah pun tahu, seluruh negara pun tahu,” katanya.

Beliau meminta semua pimpinan sama ada Pas, Bersatu ataupun komponen lain seperti Gerakan dapat berbincang secara baik-baik sebarang perkara berbangkit.