Bantah penjualan arak di kedai serbaneka

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Isma dan penduduk Taman Matahari Indah membantah penjualan minuman keras di kedai serbaneka berhampiran taman perumahan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

SEREMBAN – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Seremban dan penduduk Taman Matahari Indah membantah penjualan minuman keras di kedai serbaneka di kawasan itu.

Surat bantahan diserahkan oleh Yang Dipertua Isma Seremban, Zakri Mohd Zain dan Pengerusi Surau Al Wusto Taman Matahari Indah, Abd Rapi Sa’aid kepada pengurus premis itu baru-baru ini.

Zakri berkata, bantahan itu sebagai inisiatif bagi memastikan tiada kedai serbaneka berhampiran taman perumahan yang majoriti penduduknya beragama Islam menjual minuman keras.

“Alhamdulillah, inisiatif ini disokong sepenuhnya oleh penduduk di Taman Matahari Indah yang ternyata turut tidak bersetuju adanya penjualan arak di premis berkenaan.

“Lagipun penjualan minuman memabukkan itu secara terang-terangan melanggar Enakmen Syariah Islam Negeri Sembilan di bawah Seksyen 79,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ujarnya, pihak lain seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan jawatankuasa masjid serta surau diharap dapat mengambil inisiatif sama melakukan bantahan.

Sementara itu, Abd Rapi berkata, ada menerima aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati dengan penjualan minuman keras di kedai serbaneka di taman berkenaan.

“Ia jelas memberi kesan negatif kepada generasi muda kerana mereka mudah untuk membeli minuman keras.

“Justeru, kita menyokong penuh inisiatif yang dilakukan oleh Isma dalam membantah penjualan arak di kawasan majoriti Muslim,” katanya.