Melaka sasar bandar lestari 2023

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Zaidi (dua dari kiri) menyaksikan Saifuddin (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Fadhil ketika Majlis Apresiasi dan Jamuan Makan Malam MPAG 2022 di MITC pada malam Jumaat.

MELAKA – Kerajaan negeri menyasarkan untuk mencapai negeri bandar lestari menjelang tahun 2023 dengan memberi fokus terhadap masalah gangguan air iaitu Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, bagi merealisasikan hasrat itu sebanyak RM65 juta diperlukan bagi pembinaan NRW agar penurunan air tidak terhasil dapat memberikan penjimatan kepada negeri ini.

Menurutnya, kini pihaknya sedang berusaha mencapai sasaran itu dengan pelbagai perancangan dilaksanakan menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta kolaborasi dengan agensi berkaitan selain bantuan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, ia tidak mustahil dicapai kerana pada 2016, Melaka merekodkan capaian NRW pada kadar 19 peratus iaitu tertinggi di negara ini.

“Kalau ini dijalankan dengan betul dan gerak kerja tersusun kita akan mencapai penurunan lima peratus setahun.

“Jika perkara itu boleh berlaku dengan kadar cepat sasaran sebenar kita adalah 10 peratus penurunan NRW, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Jamuan Makan Malam Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2022 di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada malam Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan, Yang Dipertua MPAG, Saifuddin Abdul Karim dan bekas Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah berbincang bersama dalam bengkel cadangan kutipan hasil baharu bagi meningkatkan pendapatan di pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Dengan cara ini hasil pendapatan akan meningkat dan membantu memenuhi matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Melakaku Maju Jaya 2035,” katanya.