Azeem lepasi sasaran bawah 21 saat

in Sukan by

Azeem meraih tempat keenam Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun pada Ahad. – Foto Agensi

HASRAT pelari terpantas Malaysia, Muhammad Azeem Fahmi untuk menaiki podium dalam acara 200 meter (m) Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun pada Ahad tidak kesampaian.

Ia selepas pelari berusia 18 tahun itu menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan masa 20.98 saat (s).

Bagaimanapun Azeem tetap boleh berbangga dengan catatan masa itu apabila berjaya melepasi sasarannya untuk mendapatkan catatan di bawah 21.00s dalam setiap kejohanan yang disertai.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Stadium Denka Big Swan, pelari dari Tsukuba Omiya Castle, Uzawa Toba mengungguli acara terbabit dengan catatan 20.60s manakala, tempat kedua menjadi milik Keigo Yasuda dari Sumitomo Electric Hyogo menerusi (20.75s).

Seorang lagi pelari Jepun yang mewakili IxZOG Osaka, Uemoto Naoki melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan masa 20.94s.

Bagi jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, dia nyata berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan anak buahnya itu selepas berjaya menampilkan aksi konsisten.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan larian dan catatan masa yang dilakukan Azeem selepas apa yang dilaluinya sepanjang tahun ini.

“Dari segi catatan masa juga saya berpuas hati sebab dia berjaya mengekalkan di bawah 21.00s dan ia adalah catatan konsisten yang dilakukan Azeem setakat ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sebagai rekod, catatan masa terbaik Azeem bagi acara 200m ialah 20.83s yang dilakukan sewaktu Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia pada Ogos lalu.

Reekod kebangsaan pula masih kekal menjadi milik pelari negara yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib (20.77s) yang dilakukan ketika di Queensland Track Classic pada 23 Mac 2019.