Daftar kelahiran anak di Balai Polis Karakit

in Edisi Sabah Sarawak by

Hamzah (kiri) bersama Hajiji (kanan) ketika melawat pameran sempena Program Kita Demi Negara di pekarangan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Penduduk di Pulau Banggi, Kudat, kini sudah boleh menarik nafas lega apabila Balai Polis Karakit di pulau itu dijadikan tempat untuk mendaftar kelahiran bayi yang baru lahir.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia hasil usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada rakyat di pedalaman sebagai transformasi ke atas pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk berfungsi sebagai balai polis.

“Saya ke Pulau Banggi, rakyat di sana mengadu kerana nak mendaftar kelahiran anak dari Pulau Banggi perlu dibuat pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terletak di Pekan Kudat.

“Ini memakan belanja yang agak besar kerana terpaksa naik feri atau feri ke Kudat dan balik semula. Kadang-kadang memakan belanja RM100 semata-mata untuk mendaftar kelahiran.

“Maka semalam saya umumkan balai polis di Karakit, Pulau Banggi dijadikan kawasan untuk mendaftar kelahiran anak di Pulau Banggi juga,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Program Kita Demi Negara, Zon Sabah, di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin.

Tambah beliau lagi, inisiatif itu adalah contoh terbaik kerjasama strategik antara dua jabatan di bawah KDN apabila perluasan fungsi kepada balai polis itu juga melibatkan urusan di bawah JPN.

Sebelum itu, Hamzah memaklumkan, selain Kudat, terdapat lapan lagi PGA di negeri ini telah diperluaskan fungsi sebagai balai polis.

“Antaranya dua pos di Semporna, dua di Beluran, dan masing-masing satu di Tawau, Kota Belud, Kinabatangan dan Kota Marudu.

“Melalui insiatif ini juga interaksi dan libat urus pihak berkuasa bersama penduduk setempat dapat dipertingkatkan dan dapat membantu dari aspek komunikasi strategik dan risikan pihak berkuasa,” katanya.