KBS fokus industri e-sukan tahun depan: Ahmad Faizal

in Sukan by

Ahmad Faizal ketika hadir pada majlis pelepasan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Trail Run 2022 di Taman Cabaran hari ini. Foto Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memberi fokus kepada pembangunan industri e-sukan menerusi Bajet 2023 yang dilihat berpotensi memberi pulangan besar kepada negara.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, meskipun prestasi e-sukan tidak memberangsangkan pada tahun ini, namun ia wajar diberikan keutamaan berikutan impak sukan itu yang menggalakkan.

“Kita mahu kembangkan industri e-sukan dan dalam masa sama kita lahirkan pemain bertaraf antarabangsa, kita perlu jalan seiring. Saya amat yakin memang ada peruntukan untuk e-sukan.

“Sebelum ini ia tidak dilakukan dengan serius dan tersusun jadi untuk tahun depan KBS akan memberi fokus utama kepada sukan ini untuk melonjakkan industri sukan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KBS Trail Run ‘Love Nature for Our Future’ 2022 di sini hari ini.

Menurut beliau, kementerian juga akan memberi fokus memperhebatkan sukan massa selain mengekalkan fokus kepada atlet berprestasi tinggi.

Mengulas mengenai program KBS Trail Run itu, Ahmad Faizal berkata, ia merupakan permulaan yang baik untuk sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 yang akan berlangsung hujung minggu ini.

“Ini merupakan build up program kepada acara utama HSN 2022 dan saya harap kita dapat mencapai sasaran 4.5 juta penglibatan daripada seluruh rakyat pada kali ini,” katanya. – Bernama