Pahang siap sedia hadapi banjir besar

in Edisi Pahang by

Wan Rosdy diiringi Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (kiri) dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani (kanan) ketika lawatan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di pejabat agensi itu pada Sabtu. – Foto Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang sentiasa cakna dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir besar di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, banjir dijangka berlaku berdasarkan jangkaan hujan lebat dalam tempoh fasa Monsun Timur Laut kali ini.

Menurutnya, segala usaha dan persediaan rapi telah dilaksanakan semua jabatan serta agensi kerajaan di negeri ini bagi menghadapi kemungkinan itu.

“Semoga segala usaha bagi melindungi rakyat negeri ini daripada sebarang bencana menimpa dipermudahkan ALLAH SWT,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Wan Rosdy sebelum itu mengadakan Lawatan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di sini pada Sabtu.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengikuti taklimat strategi dan pengurusan bencana banjir di Pahang oleh pihak bomba.

“Saya turut difahamkan bahawa JPBM telah mengenal pasti 186 kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air di seluruh negara,” katanya.

Wan Rosdy dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan bahawa Pahang memperuntukkan RM47 juta untuk persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Peruntukan itu disediakan untuk pembelian aset seperti bot dan pembinaan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di Maran.

Antara persiapan lain termasuk penyediaan tapak pendaratan helikopter di Lipis bagi membantu memudahkan urusan penghantaran barang keperluan kepada mangsa banjir dan penyediaan sistem pengesanan pergerakan tanah di Cameron Highlands.