Ambil tindakan lebih tegas jika masih jual arak

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Tujuh NGO membantah penjualan arak di kedai serbaneka di kawasan Nilai Perdana, Nilai.

NILAI – Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengambil tindakan lebih tegas jika kedai serbaneka di kawasan Nilai Perdana di sini masih meneruskan penjualan minuman keras.

NGO berkenaan iaitu Ikatan Muslim Malaysia (Isma) cawangan Nilai, Persatuan Penduduk Taman Nilai Perdana (PNP), Persatuan Penduduk Taman Nilai Perdana (SERUNI) dan Pusat Komuniti Anjung Hikmah.

Selain itu, Surau Al-Ikhlas Nilai Perdana, Surau Al Azim Blok J dan Surau Apartment Nilai Perdana.

Pengerusi Surau Al-Ikhlas Nilai Perdana, Rosli Derus berkata, mereka tidak boleh berkompromi lagi dengan penjualan minuman keras kerana ia boleh memberi kesan buruk.

“Bukan sekadar tutup dengan pelekat hitam, tetapi kita nak zero arak di kawasan ini, tiada kompromi.

“Kita difahamkan walaupun kertas kerja untuk menghentikan penjualan minuman keras telah dihantar kepada pihak kedai sebelum ini, namun masih tiada arahan untuk menghentikan penjualannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, tempoh dua minggu diberi kepada pihak pengurusan kedai serbaneka terbabit untuk mengosongkan rak penjualan minuman keras.

Ujar beliau, jika bantahan itu tidak diendahkan, pihaknya akan melakukan bantahan beramai-ramai dengan mendapatkan tandatangan daripada penduduk setempat.