Istana Negara nafi PM menghadap Agong hari ini

in Nasional by

Istana Negara menafikan laporan mendakwa Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Isnin seperti mana didakwa penulis blog, Zaharin.

SHAH ALAM – Istana Negara menafikan laporan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin bagi meminta Parlimen dibubarkan segera seperti didakwa penulis blog, Datuk Zaharin Mohd Yasin.

Menurut laporan sebuah portal, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda kini masih berada di Singapura.

“(Ia) berita palsu. Tuanku masih di Singapura,” katanya pada Isnin.

Pada Ahad, Zaharin yang baru dipecat keahliannya daripada UMNO pada Jumaat lalu mendakwa Ismail Sabri akan akan hadir ke Istana Negara pada Isnin untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen.

Sementara itu, sumber rapat dengan Ismail Sabri berkata, jadual Perdana Menteri pada Isnin ‘padat dengan mesyuarat’.

Sumber itu turut memberitahu, Ahli Parlimen Bera itu tidak mempunyai mesyuarat yang dijadualkan di Istana Negara untuk beberapa hari akan datang.