'Jangan buat kesimpulan BN akan menang PRU15'

in Politik by

SYAHREDZAN

SHAH ALAM – Masih tiada mana-mana parti di dalam negara termasuk UMNO boleh memastikan ia mampu memenangi kerusi yang mencukupi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menubuhkan kerajaan, kata Pengerusi Biro Media Sosial DAP, Syahredzan Johan.

Beliau berkata, tindakan terbaharu UMNO yang dilihat mahu memulihkan hubungan bersama Pas menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) menunjukkan ketidakyakinan parti itu terhadap keupayaannya dalam PRU akan datang.

“Kenapa UMNO mahu bincang MN dengan Pas semula? Walaupun lepas menang 2/3 di Melaka dan Johor? Sebab simulasi mereka menunjukkan bahawa mereka tak akan menang cukup kerusi untuk tubuh kerajaan.

“Jadi, jangan buat kesimpulan bahawa BN confirm (pasti) akan menang PRU15. Nothing is conclusive (tidak ada yang muktamad). Yang penting, mari sama-sama terus berusaha untuk bina Malaysia yang lebih baik,” tulisnya di Twitter pada Isnin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pada Ahad menegaskan UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah, maka sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan perlu kembali berpandukan prinsip piagam asal.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan mengadakan pertemuan bersama pemimpin tertinggi UMNO dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju kerjasama menghadapi PRU15.

Menurut Tuan Ibrahim, kerjasama berkenaan membabitkan 27 kerusi Parlimen serta beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dilihat mempunyai potensi untuk dimenangi sekiranya ada permuafakatan bersama UMNO.