JAS kesan pencemaran bahan kimia di Temerloh

in Edisi Pahang by

Kesan pencemaran cecair disyaki bahan kimia yang dikesan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Belenggu,Temerloh. – Foto Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man

KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Temerloh menemui kesan pencemaran cecair disyaki bahan kimia dari kawasan ladang sawit di Kampung Belenggu, Temerloh.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa individu yang disyaki terlibat telah ditahan.

Menurutnya, turut ditahan beberapa kenderaan yang digunakan individu terbabit.

“Pencemaran itu dikesan susulan bau kuat dari kawasan ladang sawit berkenaan.

“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tuan Ibrahim berterima kasih kepada JAS cawangan Temerloh atas tindakan pantas mengesan dan menangani pencemaran tersebut.

“Ucapan terima kasih juga kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang turut bekerjasama menangani kes ini,” katanya.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, beliau berkata, usul untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dijangka dibentangkan pada bulan Oktober ini.

Menurutnya, antara tujuan pindaan itu adalah untuk meningkatkan hukuman, denda dan kompaun kepada penjenayah alam sekitar.