Mangsa banjir kilat di Johor meningkat

in Edisi Johor by

Mangsa banjir kilat di Johor meningkat kepada 295 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 75 orang yang direkodkan petang semalam. – Foto Facebook APM Johor

JOHOR BAHRU – Mangsa banjir kilat di Johor meningkat kepada 295 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 75 orang yang direkodkan petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan, Kulai merupakan daerah baharu di negeri itu yang terjejas akibat banjir kilat dengan 159 orang dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu.

Menurut JPBD, kesemua mangsa di PPS SMK Bukit Batu yang dibuka sejak 6.30 petang semalam itu, merupakan penduduk dari Kampung Melayu Bukit Batu.

“Selain itu, satu lagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang dibuka pada 5.30 petang semalam, menempatkan 41 mangsa dari Kampung Sungai Linau.

“Seramai 33 mangsa dari Kampung Tengah, Renggam juga di Kluang masih ditempatkan di PPS SK Sri Kampung Renggam,” menurut kenyataan itu hari ini.

JPBD menyatakan PPS SK Melayu Raya di Pontian pula menempatkan 62 mangsa dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti.

“Ini sekali gus menjadikan sebanyak empat PPS beroperasi di negeri ini melibatkan daerah Pontian, Kluang dan Kulai,” katanya.

Banjir kilat di negeri itu berlaku disebabkan hujan lebat melebihi dua jam sejak 10 pagi semalam. – Bernama