Pas buat keputusan muktamad hujung minggu ini

in Politik by

Takiyuddin. (Gambar dalam : Ahmad Zahid pada Ahad berkata, usaha untuk memulihkan Muafakat Nasional (MN) mestilah berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal yang dimeterai antara UMNO dan Pas.)

SHAH ALAM – Pas akan buat keputusan muktamad berhubung keterbukaan UMNO untuk memulihkan Muafakat Nasional (MN) sebelum hujung minggu ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengambil sikap mengkaji secara mendalam kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, sebarang keputusan yang bakal dimuktamadkan Pas dibuat dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar dan mudarat paling ringan.

“Pas menyambut baik kenyataan Presiden UMNO yang menzahirkan keterbukaan UMNO dan Pas memulihkan agenda penyatuan ummah berikutan pertemuan empat mata Presiden UMNO dan Pas pada 17 September lalu.

“Pas mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Pas dengan ini mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Takiyuddin, Pas tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan di antara parti-parti utama Melayu Islam di negara ini.

“Dengan mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah iaitu antara Aus – Khawraj dan Muhajirin – Ansar yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan berteraskan Islam,” jelasnya.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan pada Ahad menegaskan UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah, maka sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan perlu kembali berpandukan prinsip piagam asal.

Namun ujarnya, UMNO tetap dengan pendirian tidak sesekali menerima pihak yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama.

Beliau ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup “Boot Camp” BNComms di Alor Gajah, Melaka pula berkata, UMNO akan kembali ke meja rundingan dengan Pas jika parti itu memenuhi tiga syarat yang telah dikemukakan kepada Abdul Hadi Awang dalam pertemuan tersebut.

Laporan media tempatan menyatakan tiga syarat itu adalah Pas keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) seratus peratus daripada PN dan Bersatu.