Pelajar didedah cara atasi jenayah seksual dalam talian

in Edisi Utara by

Mahmood (depan, tujuh dari kiri) bergambar bersama pelajar SMK Pokok Sena yang mengikuti Program Sumbangan Hamper Alat Tulis Bagi Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Daerah Pokok Sena baru-baru ini.

POKOK SENA – Seramai 250 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, dekat sini menerima pendedahan Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak yang dikongsikan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Zon Utara 1, Zamzuri Mansor berkata, program tersebut melibatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat di sekolah tersebut.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan serta pelindungan kepada anak muda terutama golongan remaja yang semakin meningkat dewasa.

“Perkongsian ini juga menekankan keadah mengatasi jenayah seksual dalam talian pada masa kini antaranya kepentingan penggunaan gajet,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Hamper Alat Tulis Bagi Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Daerah Pokok Sena.

Menurutnya, Pasar Raya Econsave menyambut baik usaha tersebut bagi memberikan pendedahan kepada remaja dan pengawalan penggunaan gajet terhadap kanak-kanak juga perlu dititikberatkan.

“Econsave Pokok Sena juga tampil menjayakan program ini dengan menyumbangkan barangan hamper seperti set alat tulis, pen, buku nota kecil, buku latihan dan fail,” kata beliau lagi.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Salim Mahmood.