Pemilihan Timbalan YDP Dewan Rakyat tangguh lagi

in Nasional by

Wan Junaidi – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan pada Isnin, sekali lagi ditangguhkan.

Usul penangguhan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor satu dalam Aturan Urusan Mesyuarat ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dan dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti perkara nombor satu yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini, di mesyuarat ketiga akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian disokong Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin seterusnya dipersetujui secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.

Wan Junaidi kemudian dalam sidang akhbarnya menjelaskan usul itu ditangguhkan setelah pihaknya mendapati hanya satu sahaja nama calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ia diberikan oleh pihak kerajaan.

“Saya dapati hanya satu sahaja nama iaitu daripada pihak kerajaan. Saya telefon (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia di India pada masa itu, saya bagi tahu dengan dia oleh kerana tiada pencalonan daripada Pakatan Harapan, maka atas persefahaman yang dahulu bahawa kita juga akan tarik (nama) calon kita.

“Kita tidak mahu ambil kesempatan terhadap orang lain,” ujarnya.

Ini merupakan kali kelima Dewan Rakyat membuat penangguhan itu setelah jawatan tersebut kosong apabila Azalina melepaskan jawatan itu pada 23 Ogos lalu tahun lalu.

Kali terakhir usul berkenaan dibawa Wan Junaidi pada 18 Julai lalu.