Pengguna jalan raya terkejut lihat 30 gajah melintas

in Edisi Terengganu by

Tangkap layar yang menunjukkan sekumpulan gajah liar melintas jalan di Felda Neram 1 ke Felda Neram II yang sempat dirakam Nik Mohd Hafizul pada pagi Isnin.

KEMAMAN – Kehadiran lebih 30 gajah liar yang melintas jalan di Felda Neram I menghala ke Felda Neram II di sini pada pagi Isnin mengejutkan pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut.

Kemunculan kumpulan gajah dewasa bersama anak itu sempat dirakam oleh seorang pemuda, Nik Mohd Hafizul Nik Zulkifli, 26, yang bekerja sebagai pemandu FGV Plantations (Malaysia) Sdn Bhd.

Menurut Nik Mohd Hafizul, kehadiran gajah itu disedarinya ketika melalui jalan terbabit selepas selesai menghantar pekerja ladang kira-kira jam 8.30 pagi.

“Saya terus perlahankan kenderaan bila nampak gajah, pada awalnya saya sangkakan hanya sekitar 10 ekor sahaja gajah yang melintas namun jumlahnya makin banyak dengan anggaran lebih 30 ekor,” katanya pada Isnin.

Beliau yang tinggal di Felda Neram II mengakui terkejut apabila terserempak dengan kawanan gajah liar terbabit dan mengakui ia merupakan pengalaman pertamanya sejak lebih setahun tinggal di sana.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kemunculan gajah yang melintas di laluan terbabit.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mendekati gajah sekiranya terserempak dengan haiwan terbabit bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

“Sentiasa jaga jarak kenderaan dan tidak bunyikan hon kepada kumpulan gajah. Kita juga harap orang ramai boleh maklumkan sebarang penemuan kepada Perhilitan bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.