PRU15: PBM harap penyertaan lebih ramai calon wanita

in Politik by

Haniza

SHAH ALAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) berharap agar kadar penyertaan wanita sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat ditingkatkan supaya suara golongan tersebut dapat lebih didengari dalam politik negara.

Timbalan Presidennya, Haniza Mohd Talha berkata, ketika ini hampir separuh daripada daftar pemilih di dalam negara ialah pengundi wanita dan golongan berkenaan akan menjadi blok penting pada PRU akan datang.

“Di peringkat global, standardnya kini adalah 30 peratus perwakilan wanita dalam kerajaan. Pada masa ini, wanita hanya merangkumi kira-kira 15 peratus daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan hanya 15.6 peratus daripada menteri Kabinet kita adalah wanita.

“PBM juga berharap pada pilihan raya akan datang, bukan sahaja lebih ramai calon wanita akan diletakkan, malah lebih ramai lagi akan menang. Hanya melalui perwakilan politik, suara wanita dapat didengar dan masalah mereka ditangani.

“PBM juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi mandat secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai awam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, keputusan UMNO untuk memberi wanita lebih banyak peluang untuk bertanding dalam PRU15 akan datang adalah satu langkah yang tepat dan patut dihargai.

Katanya, langkah meningkatkan penyertaan wanita sebagai calon pada PRU itu juga dilihat dapat membantu usaha untuk meraih sokongan pengundi daripada golongan tersebut.

Pada Ahad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu meluluskan cadangan agar 30 peratus calon (PRU15) adalah dalam kalangan wanita.

Katanya, langkah itu akan menyaksikan peningkatan calon wanita hampir sekali ganda berbanding pada PRU14 lalu iaitu sebanyak 14 peratus.