Puteri UMNO di Perak persiap jentera fizikal, maya

in Edisi Perak by

Ainul Amalina (kiri) menyiram pokok yang ditanam sempena program Kampung Teman Hijo di Dewan Dato’ Azumu Tak di Ipoh pada Sabtu. – Gambar kecil: Irmalini

IPOH – Puteri UMNO di Perak sudah mempersiapkan jentera mereka bukan sahaja secara fizikal tetapi maya dalam usaha memenangi hati pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Puteri UMNO Bahagian Ipoh Barat, Ainul Amalina Husni Husin berkata, setiap organisasi Puteri UMNO di peringkat bahagian mempunyai Biro Media Sosial masing-masing dan sudah menjalani latihan yang disediakan.

Menurutnya, Puteri UMNO Perak merupakan yang pertama dan terawal menjalani latihan berkenaan.

“Cabaran utama pada PRU15 adalah untuk membaca pilihan pengundi muda. Kita tidak tahu mereka akan memihak kepada siapa.

“Oleh itu, Puteri UMNO akan bekerja keras di alam maya menyantuni pengundi muda seterusnya memastikan mereka mengundi UMNO,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Kampung Teman Hijo di Dewan Dato’ Azumu Tak di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Tambun, Irmalini Amir Hamzah berkata, ketika ini semua peringkat sudah mempersiapkan jentera masing-masing untuk berdepan PRU15.

Katanya, program-program menyantuni pengundi sudah dibuat lebih awal sama ada secara fizikal mahu pun melalui media sosial.

“Kami di peringkat akar umbi hanya menunggu arahan pada bila-bila masa untuk menggerakkan jentera ke seluruh Parlimen ini bagi memenangkan kembali kesemua kerusi di dalam Tambun.

“Kita yakin dengan gerak kerja yang dilakukan ini, BN akan kembali menerajui Parlimen Tambun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi serta DUN Hulu Kinta,” katanya.

Pada 30 September, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.