Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

in Bisnes by

Ringgit mengakhiri urus niaga hari pertama Oktober dengan lebih rendah berbanding dolar AS pada Isnin walaupun harga minyak mentah meningkat. Foto 123RF

RINGGIT mengakhiri urus niaga hari pertama Oktober dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin walaupun harga minyak mentah meningkat, kata penganalisis.

Pada 6.01 petang, ringgit susut kepada 4.6470/6500 berbanding dolar AS daripada 4.6360/6390 pada akhir Jumaat lepas.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran dalam keadaan tidak menentu manakala permintaan terhadap aset berisiko Asia pula suram susulan kemerosotan ketara aset risiko United Kingdom pada minggu lepas.

“Agak mengejutkan apabila ringgit tidak mengukuh ketika harga minyak naik dua peratus dengan pihak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berkemungkinan mengurangkan pengeluaran untuk memastikan asas harga lebih rendah.

“Prestasi dolar AS dan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di luar negara kekal menjadi kekangan utama susulan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung menaikkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Bhd Firdaos Rosli berkata, dagangan ringgit pada minggu ini akan bergantung kepada pengumuman laporan gaji bukan perladangan akan datang AS serta kenyataan pegawai Fed.

Menurutnya, pasaran akan turut menumpukan kepada hasil persidangan Parti Konservatif United Kingdom, data tinjauan Indeks Pengurus Pembelian bagi negara-negara ekonomi utama serta mesyuarat OPEC.

“Pergerakan ringgit akan turut dipengaruhi oleh pengumuman Bajet 2023 pada 7 Oktober ini selain perkembangan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lebih awal.

“Ini akan menunjukkan jangkaan mengenai inflasi dalam bulan-bulan akan datang selain menggambarkan hasrat sama ada Bank Negara Malaysia akan bertindak menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas pada awal November ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan ringgit diniagakan secara menyederhana dalam jajaran RM4.644 hingga RM4.655 pada minggu ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan secara bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.1963/1996 daripada 5.1728/1762 pada Jumaat dan rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2354/2379 daripada 3.2343/2368.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen kepada 3.2015/2040 daripada 3.2103/2126 dan naik berbanding euro kepada 4.5355/5384 daripada 4.5428/5458. – Bernama