Yakult tingkat kesedaran kanser dalam komuniti luar bandar

in Edisi Kelantan by

Sebahagian yang menjayakan Program Saringan Kanser Usus Besar dan Payudara di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada Isnin.Yanase (dua dari kiri) bersama Dr Rohana (dua dari kanan) semasa perasmian Program Saringan Kanser Usus Besar dan Payudara di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada Isnin.

KUALA KRAI – Yakult (Malaysia) Sdn Bhd akan terus memperkasakan kesedaran bahaya kanser usus besar dan payudara dalam kalangan komuniti luar bandar di negeri ini.

Pengarah Urusannya, Hiroki Yanase berkata, usaha tersebut bertujuan memastikan komuniti luar bandar mengambil serius bahaya penyakit berkenaan yang dibimbangi boleh meragut nyawa jika tidak dicegah dengan awal.

“Menurut maklumat Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) kanser usus besar merupakan kanser kedua paling kerap berlaku di negara ini sejak 2012 hingga 2016 iaitu sebanyak 13.5 peratus selepas kanser payudara (19 peratus).

“Dengan pendedahan ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kesedaran berkaitan penyakit tersebut dan berkongsi pengetahuan berkaitan kepentingan pemeriksaan awal bagi mencegah penularan sel kanser,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Program Saringan Kanser Usus Besar dan Payudara di Hospital Sultan Ismail Petra di sini pada Isnin.

**media[1931366]**

Hadir sama ialah Pengarah Hospital Sultan Ismail Petra, Dr Rohana Daud.

Ujar beliau, seiring dengan Oktober sebagai bulan kesedaran kanser payudara sedunia, program tersebut juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran kepentingan pemeriksaan sendiri payudara yang merupakan satu kaedah paling mudah, penting dan berkesan untuk mengesan penyakit tersebut di peringkat awal.

Menurutnya, antara aktiviti yang diadakan ialah ceramah, pameran, pelaksanaan saringan kanser usus besar melalui pengangihan Immunological Faecal Ocult Blood Test (iFOBT) untuk mengesan kanser pada peringkat awal.

Yanase berkata, sebanyak 200 kit iFOBT telah diagihkan sepanjang program tersebut bertujuan membawa kesihatan dan kebahagiaan kepada orang ramai.

“Kami berharap usaha ini dapat meningkatkan tahap kesedaran penduduk Malaysia mengenai risiko kanser serta ingin menekankan tentang pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati.

“Ia juga selaras dengan falsafah syarikat yang menekankan penggunaan probiotik iaitu bakteria berfaedah untuk mengurangkan risiko kepada masalah kanser dan usus serta telah terbukti melalui penyelidikan saintifik oleh pakar kanser usus Jepun, Dr Hideki Ishikawa,” katanya.

Menurut Yanase, usaha tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yakult dalam membantu masyarakat mencegah penyakit berkenaan.