Ahmad Khawari kekal Naib Presiden AIPS Asia

in Sukan by

Ahmad Khawari

BEKAS Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa mengekalkan jawatan selaku Naib Presiden Kesatuan Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) bagi penggal 2022-2026.

Ahmad Khawari berkata, keputusan itu dicapai menerusi pemilihan kongres tahunan kali ke-26 yang diadakan di Rom, Itali pada Selasa dan beliau dipilih bersama empat lagi calon dari India, Kuwait, Qatar dan Iran.

“Saya gembira kerana Malaysia terus diberikan mandat untuk bersama dalam kepimpinan AIPS Asia kerana saya percaya negara mampu memainkan peranan dengan didokong sokongan padu rakan-rakan kepimpinan SAM,” katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada pihak media.

Beliau berkata, agenda utamanya ialah untuk mengendalikan sepenuhnya operasi AIPS Asia di Malaysia.

“Kita akan memainkan peranan besar, insya-ALLAH kita akan menunaikan matlamat untuk membawa ibu pejabat AIPS Asia ke sini bagi mengendalikan operasinya secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan AIPS Asia, Jung Hee Don dipilih sebagai presiden baharu tanpa bertanding.

Pemilihan itu turut menyaksikan wakil Pakistan Amjad Malik Aziz mengisi jawatan Setiausaha Agung manakala Bendahari disandang Niranjan Rajbanshi dari Nepal.

Lapan kerusi exco pula diisi Oman, Bangladesh, Jepun, Taiwan, Palestin, Yaman, Macau dan Kyrgyzstan. – Bernama