Anwar intai kerusi 'pengkhianat' di Perak minggu ini

in Politik by

Mohamed Hairul Amir (tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Selasa.

IPOH – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan turun menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap mengkhianati PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohamed Hairul Amir Sabri berkata, Anwar akan berada di DUN Kuala Kurau pada 8 Oktober sempena Himpunan Harapan Perak Bangkit membabitkan beberapa siri ceramah.

Menurutnya, selain Anwar, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli juga akan turut turun ke beberapa kawasan di Perak seperti di kawasan Parlimen Tanjung Malim, Tapah, Tambun dan Tualang Sekah.

“Dalam siri jelajah beliau (Anwar) ke beberapa kawasan pengkhianat, beliau membawa mesej kepada rakyat bahawa PKR mengecam tindakan mengkhianati mandat rakyat pada PRU yang lepas.

“PKR Perak yakin PH mempunyai peluang cerah untuk menawan semula negeri Perak dan kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengarah Pilhan Raya PKR negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing bersama-sama pimpinan PKR negeri.

Dalam pada itu, Mohamed Hairul Amri berkata, PKR Perak mengecam tindakan UMNO yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri agar membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Menurutnya, pembubaran Parlimen tidak sesuai dilakukan ketika ini memandangkan negara sedang bersedia menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

“Kerakusan UMNO yang gilakan kuasa telah mengenepikan kepentingan rakyat. Pada mereka, jawatan dan kuasa adalah perkara yang diperjuangkan sehingga melupakan kepentingan rakyat.

“Bagaimanapun, sekiranya Perdana Menteri membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, PKR Perak telah bersedia untuk berentap di dalam gelanggang PRU,” katanya.

Minggu lalu, Pengerusi PH itu memberi bayangan bahawa beliau akan meninggalkan kerusi Port Dickson dan bakal bertanding di Parlimen di mana wakil rakyatnya sekarang adalah pengkhianat PKR.

Anwar menjelaskan beliau meninggalkan Port Dickson kerana PH lebih kuat dan berpotensi besar untuk mempertahankan kerusi berkenaan biarpun ditandingi oleh pemimpin lain.