Anwar persoal masih tiada siasatan isu Pandora Papers

in Politik by

Anwar ketika Jelajah Rakyat Bandar Tun Razak pada malam Isnin.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan masih tiada siasatan dijalankan berhubung isu Pandora Papers meskipun berpuluh bilion duit dibawa keluar.

Ketua Pembangkang itu berkata, perkara tersebut menimbulkan persoalan apabila masih tiada siasatan dibuat walaupun membabitkan beberapa pihak termasuk bekas pemimpin negara.

“Orang tanya saya tak habis-habis isu Pandora Papers. Macam mana nak habis, duit dibawa keluar berpuluh bilion.

“Orang yang ambil duit itu, tiada siasatan.

“Saya tanya dalam Parlimen, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) beri jaminan nak siasat, tetapi diam. Mana dia SPRM,” katanya ketika berucap di Jelajah Rakyat Bandar Tun Razak di sini pada malam Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Pandora Papers adalah laporan berhubung ratusan pemimpin dunia termasuk ahli politik didakwa menyembunyikan wang dan pelaburan mereka seperti hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki oleh 14 firma di serata dunia.

Menurut pendedahan tersebut, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Pendedahan ini dibuat pada Ahad oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan rakyat perlu memilih wakil rakyat, kerajaan dan pimpinan yang mempunyai keberanian bagi berdepan sesiapa sahaja untuk membela nasib rakyat.

“Kalau sekarang bersyarah dan gunakan ucapan bangkitkan semangat Melayu tetapi masalah rakyat tak dapat pula dibela,” soalnya lagi.