Boleh guna PLS bagi kerja libat kepakaran, kritikal

in Nasional by

Khairul Dzaimee

SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkenalkan kemudahan masuk baharu dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) atau PLS@XPATS bagi mengatasi keperluan syarikat tempatan dan antarabangsa melibatkan kepakaran asing dalam melaksanakan operasi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya amat memahami keperluan syarikat tempatan dan antarabangsa (MNC) yang memerlukan kepakaran asing bagi melaksanakan kerja-kerja kritikal.

Menurutnya, kerja kritikal berkenaan melibatkan pembaikan mesin di kilang, kerosakan janakuasa elektrik, sistem ICT gagal berfungsi dan kerja-kerja ‘testing and commissioning’ sebelum aset dan kemudahan berkenaan boleh dibenarkan beroperasi.

“Kemudahan masuk menggunakan PLS atau PLS@XPATS ini dapat digunakan dalam tempoh 30 hari bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan dan kritikal tersebut dilaksanakan segera.

“Syarikat boleh mengemukakan permohonan mereka melalui pautan sistem atas talian imigresen iaitu https://mtp.imi.gov.my/plsXpats,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, kelulusan akan diberikan secara (dalam talian) dalam masa tiga hari bekerja.

“Warganegara asing yang memerlukan visa pula boleh memohon secara dalam talian melalui sistem e-Visa.

“Pemain industri tempatan dan pihak berkepentingan yang memerlukan maklumat lanjut mengenai kemudahan PLS@XPATS ini boleh boleh menghantar e-mel kepada plsxpatesd@imi.gov.my,” katanya.