Johor catat lebih 9,000 kes HFMD

in Edisi Johor by

Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 9,156 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Johor hingga Jumaat lalu, sekali gus menjadikan negeri ini keenam tertinggi kumulatif kes berkenaan.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah enam tahun iaitu 7,878 kes, diikuti tujuh hingga 12 tahun iaitu (1,100) dan bakinya lebih daripada 13 tahun.

Katanya, daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 3,190 kes, Kluang sebanyak (1,156), Tangkak (932), Batu Pahat (929), Segamat (814), Kota Tinggi (745), Pontian (596), Muar (345), Kulai (312) dan Mersing (134).

“Setakat ini tiada wabak aktif HFMD yang dilaporkan. Lokasi penularan wabak HFMD sehingga Sabtu, melibatkan taska (48 wabak) diikuti rumah persendirian (22 wabak), tabika (14 wabak), tadika (10 wabak), prasekolah (9 wabak), sekolah rendah (3 wabak), pusat jagaan harian (3 wabak) dan lain-lain (2 wabak),” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Tian Soon berkata, sebanyak 4,365 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan di negeri itu hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-39/2022 dengan 73.7 peratus kluster melibatkan institusi pendidikan (73.7%).

Manakala bagi kumulatif kes demam denggi pada ME ke-39/2022 pula sebanyak 2,403 kes.

“Daerah Johor Bahru merekodkan sebanyak 94 kes diikuti Kulai (19), Pontian (4), Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Tangkak masing-masing (3) dan Segamat (2 kes). Tiada kes dilaporkan bagi Mersing dan Muar,” katanya.