Jumlah mangsa banjir di Johor menurun

in Edisi by

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan pemantauan banjir di sekitar Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, Pontian.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir kilat di Johor turun kepada 74 orang setakat jam empat petang pada Selasa, berbanding 114 orang yang direkodkan pada sebelah tengah hari.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsan (SK) Sri Kampung Renggam, Kluang ditutup pada 2 petang.

Terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di dua daerah terjejas iaitu Kluang dan Pontian.

“Di Kluang, seramai 42 mangsa daripada 11 keluarga masih berlindung di SK Sungai Linau.

“Sementara di Pontian, seramai 32 mangsa daripada 10 keluarga masih ditempatkan di SK Melayu Raya.

“Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya, kejadian banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat melebihi dua jam pada sebelah pagi, Ahad lalu menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air.

“Berdasarkan imej radar cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi pada jam 1.50 tengah hari pada Selasa, lapan daerah diberi amaran ribut petir iaitu Tangkak, Muar, Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya.