Kaji dahulu produk hendak dijual sebelum jadi ejen

in Pojok by
Kajilah dulu produk yang hendak dijual agar tidak menghadapi masalah pada masa depan. Foto 123RF

BARU-baru ini, ada individu tampil meluahkan rasa kecewa terhadap pengasas produk berkaitan kesihatan dan kecantikan yang didakwanya menganiaya ejen mereka.

Pelbagai isu dibangkitkan, antaranya pengasas menghentikan pengeluaran produk selepas mencapai jumlah ditetapkan, tidak ada pasukan pemasaran yang membuat promosi dan lebih menyedihkan produk dijual secara borong kepada pihak tertentu dengan harga lebih murah berbanding yang dibayar kepada ejen.

Merak Jalanan terbaca komentar di media sosial, banyak isu seperti ini berlaku apabila pengasas membuat untung dengan menjual produk ‘timbang kilo’ yang tidak berkualiti sehingga membawa kesan mudarat kepada pengguna.

Ada juga mendakwa pengasas produk hidup mewah disebabkan produk dibeli oleh ejen, bukannya pengguna. Contohnya, pengasas mengeluarkan 30,000 unit produk yang kemudian dibeli oleh ejen-ejen di bawahnya untuk dijual.

Bagaimanapun ejen yang memegang stok gagal menjual produk tersebut atas pelbagai faktor termasuk luput tarikh, akhirnya mereka terpaksa menanggung kerugian.

Dalam perkara ini, Merak Jalanan berpendapat, mereka yang baru nak berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menjadi ejen, kajilah dulu produk yang hendak dijual agar tidak menghadapi masalah pada masa depan.

Bagi pengguna pula, mereka perlulah bijak supaya tidak terpengaruh dengan iklan-iklan produk kosmetik produk timbang kilo ini.

Sebelum ini pun pakar telah menjelaskan bahawa kebanyakan produk timbang kilo tidak mempunyai lesen yang disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ramai pembeli menghadapi masalah pada kulit apabila menggunakan produk sebegitu.

Bagi Merak Jalanan, kalau tidak ada yang menyokong produk ‘sampah’ sebegitu, sudah pasti tidak ada yang akan mengeluarkannya.