Kes mahkamah: Pinda perlembagaan lucut ahli Parlimen

in Politik by

Ciapan Akif di Twitter pada Selasa.

SHAH ALAM – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan agar status ahli Parlimen yang telah disabit bersalah dan dipenjara atau denda lebih RM2,000 terlucut serta-merta.

Setiausaha Peguam Pejuang, Akif Rusli berkata, ketika ini mana-mana ahli Parlimen tidak akan hilang kelayakan sekiranya mengemukakan petisyen pengampunan dalam tempoh tempoh 14 hari dari tarikh dijatuhkan hukuman.

“Perlu dipinda dan keistimewaan seperti ini hendaklah dimansuh. Penjenayah atau banduan yang berlatarbelakangkan ahli Parlimen tidak wajar dikekal statusnya kerana mereka adalah penggubal undang-undang yang khianat pada undang-undang.

“Sebab Perkara 48(4) (b) & (c) Perlembagaan Persekutuan. Maka rakyat wajar gesa atau rayu Lembaga Pengampunan segera bereskan atau lupuskan apa-apa petisyen atau semakan,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Selasa.

Pandangan Akif itu merujuk kepada status Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mahkamah Persekutuan dianggotai lima panel hakim pada 23 ogos lalu mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Najib telah memfailkan pengampunan diraja pada 2 September dan status beliau sebagai Ahli Parlimen Pekan akan kekal sehingga proses pengampunan itu selesai.

Tambah Akif, pindaan perlu bagi mengelakkan Najib berselindung di sebalik undang-undang dengan masih kekal jadi wakil rakyat yang tidak sempurna berkhidmat.

“Usul pinda Perkara 48(4) agar keputusan Mahkamah Persekutuan adalah tuntas perlu berlaku.

“Pengampunan bukan makna bersih dari kesalahan. Keadilan undang-undang juga untuk rakyat jika jenayah itu disabitkan terkait urusan negara,” katanya.