Lokasi percutian murah tapi berisiko

in Analisis Sinar by
Sebahagian rakyat Malaysia nampaknya ghairah bercuti ke negara jiran dan memuat naik kegembiraan mereka menerusi laman sosial seperti TikTok.Gambar hiasan

SEJAK negara membuka semula pintu sempadan akibat penularan Covid-19, sebahagian rakyat Malaysia nampaknya ghairah bercuti ke negara jiran dan memuat naik kegembiraan mereka menerusi laman sosial seperti TikTok.

Situasi itu dapat dilihat di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan apabila seawal jam 6 pagi terutama Khamis, Jumaat atau Sabtu, warga tempatan berpusu-pusu beratur dengan harapan menjadi individu terawal memasuki negara Gajah Putih itu.

Pemandangan sama turut dapat dilihat di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis yang merupakan dua lokasi pintu masuk ke Thailand. Perkongsian warganet turut memaparkan deretan bas pelancongan menunggu giliran sehingga berlaku kesesakan.

Di Thailand, sudah tentu lokasi pilihan rakyat Malaysia ialah Hat Yai, hanya mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, manakala dari Rantau Panjang memakan masa sekitar empat jam menggunakan laluan darat.

Ramai berminat melancong atau membeli-belah di Thailand kerana bukan saja kos termasuk sewa hotel lebih murah berbanding dalam negara. Kadar tukaran ringgit dengan baht juga masih ‘mampu milik’.

Layanan penduduk Thailand yang mesra dan ada yang boleh berbahasa Melayu dilihat sebagai ‘pelaris’.

Selain hotel bertaraf lima bintang dikatakan lebih rendah berbanding di Malaysia, harga makanan juga murah dan sedap. Contohnya, kuih muih dijual sekitar 10 hingga 20 baht (RM1.20 hingga RM2.50) sahaja.

Kesan buruk

Portal berita Thaiger melaporkan, pelancong Malaysia merupakan kumpulan pelancong terbesar yang melawat Thailand, berdasarkan kenyataan Kementerian Pelancongan dan Sukan negara tersebut.

Seramai 220,554 rakyat Malaysia melawat negara itu pada Julai lalu, kebanyakan mereka tiba melalui lintasan sempadan darat di wilayah Songkhla.

Perkhidmatan kereta api menghubungkan Hat Yai ke Padang Besar disambung semula pada Julai lalu, sekali gus menjadikan perjalanan antara kedua-dua negara menjadi lebih mudah. Perjalanan selama sejam melibatkan kos sebanyak 50 baht (RM6.16).

Bagaimanapun, trend tersebut menyaksikan lebih banyak aliran ringgit keluar yang dibimbangi boleh memberi kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang.

Dalam keadaan nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ia bukanlah satu petanda baik, malah 100 baht kini hanya bernilai RM12.32 yang dilihat semakin rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan sebelum ini juga mengakui trend tersebut tidak sihat untuk ekonomi negara.

Situasi tersebut menjadi cabaran buat kerajaan dan juga pengusaha pelancongan untuk lebih agresif dan kreatif dalam mempromosi pelancongan dalam negara.

Selain memberi kesan kepada ekonomi, rakyat Malaysia sebenarnya berisiko tinggi apabila berkunjung ke Thailand kerana penggunaan ganja atau kanabis dibenarkan di negara tersebut.

Ia sekali gus mendorong warga tempatan khususnya anak muda mengambil kesempatan datang ke Thailand semata-mata mahu mencuba bahan yang dilarang di Malaysia itu.

Minuman berasaskan ganja dengan pelbagai jenama dijual secara terbuka pada harga serendah 17 hingga 25 baht (RM2 hingga RM3) sebotol tanpa sebarang larangan kepada pelancong di semua kedai serbaneka di negara berkenaan.

Reka bentuk botol yang cantik dan menarik membuatkan seseorang itu ingin cuba menikmatinya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad sebelum ini memberi amaran, rakyat Malaysia yang didapati positif dadah selepas pulang dari negara jiran itu boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Akta sama juga dikenakan kepada mana-mana individu memasukkan dadah dalam tubuh badan dan didapati positif di negara ini.

Jangan pandang ringan amaran tersebut. Pelancong tempatan khususnya anak muda disaran supaya lebih berhati-hati dan tidak sesekali mencuba sebarang minuman berasaskan ganja apabila berada di Thailand.

Di sebalik kegembiraan menikmati percutian di Thailand, jangan pula berhasrat nak merasai pengalaman membasahkan tekak dengan minuman tersebut. Nanti dek kerana ikutkan nafsu, badan pula merana.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan