Perkasa gesa siasatan terhadap penganjur konsert

in Edisi by

Azrol

SUNGAI PETANI – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah menggesa satu siasatan terperinci dibuat terhadap penganjur konsert di Alor Setar Sabtu lalu.

Ketua Penerangan Perkasa Kedah, Azrol Mansor berkata, siasatan terperinci perlu dibuat bagi mengenal pasti sama ada penganjuran konsert hiburan itu melanggar syarat permit ditetapkan.

Menurutnya, sekiranya dikesan melanggar syarat sepatutnya pihak tersebut perlu dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

“Lokasi konsert berhampiran Masjid Zahir mengundang tanggapan negatif masyarakat setempat mahupun pelancong luar.

“Sedikit sebanyak ia telah mencalarkan imej pihak tertentu bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dengan penganjuran konsert seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Perkasa memohon pihak berkuasa memantau sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan imej pihak lain dengan memastikan perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Penganjuran itu dikhuatiri mendatangkan lebih banyak keburukan dan melalaikan terutama generasi muda berbangsa Melayu,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar perhatian serius diberikan terhadap sebarang penganjuran majlis hiburan yang boleh mengundang ketidakselesaan orang ramai.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah tidak membenarkan sama sekali penganjuran Muda Mudi Weekend Fest (MMWF) yang melibatkan konsert hiburan sehingga mencetuskan kelakuan di luar tatasusila.

Menurut Muhammad Sanusi, kejadian muda-mudi terkinja-kinja tanpa arah gara-gara konsert hiburan di Balai Seni Alor Setar pada Sabtu menjadi penanda aras baharu berhubung sebarang aktiviti di Kedah.