PKR akan tanding lebih kerusi berbanding DAP, Amanah di Perak

in Politik by

Kar Hing (depan, dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Selasa.

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya PKR Perak, Tan Kar Hing berkata, kerusi-kerusi tersebut melibatkan Parlimen dan DUN yang berada di Perak.

Menurutnya, secara umumnya semua kerusi yang dimenangi parti-parti komponen pada PRU14 lalu kekal status quo.

“Setakat ini saya boleh katakan PKR masih lagi akan bertanding di kerusi yang lebih di Perak bagi kerusi Parlimen dan kerusi DUN tapi jumlahnya saya tak boleh kongsikan hari ini. Apa pun kita kena hormat kepada Majlis Presiden.

“Kerusi-kerusi yang mana telah dimenangi, kita kekalkan calon-calon daripada parti itulah. Cuma ada kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kita pecah-pecahkan dan bahagi dalam PH,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Ditanya mengenai hasrat DAP untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, Kar Hing berkata, setiap parti ada hak untuk membuat permintaan memandangkan terdapat satu dua kerusi yang belum muktamad.

Jelasnya, pembahagian kerusi akan mengambil kira kekuatan dan peluang parti-parti untuk menang di kawasan.

“Memang ada hak untuk DAP tuntut kerusi, tapi kali ini PKR sendiri kami lihat bukan setakat sesuatu parti sahaja tetapi lihat background, kelayakan dan peluang kemenangan seseorang calon yang akan bertanding pada kali ini.

“Bukan soal parti nak bertanding di mana saja tapi lihat peluang kemenangan calon itu sendiri,” katanya.

Pada 2 Oktober lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mendedahkan DAP akan mendapat kerusi Parlimen tambahan di Perak pada PRU15.

Beliau memberi bayangan kerusi tambahan tersebut merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.