Rina kunci mulut dakwaan intai kerusi Sepang

in Politik by

Rina ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan di sini pada Selasa.

PUTRAJAYA – Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun memilih jalan selamat dengan mengunci mulut berhubung spekulasi beliau mengintai kerusi Parlimen Sepang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, kedudukan calon adalah tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

“Siapalah saya untuk mendahului pucuk pimpinan dan sebagai ahli parti, saya akur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan di sini pada Selasa.

Ketika ditanya mengenai kekerapan menyertai program diadakan di Sepang, beliau berkata, ia adalah sebahagian tanggungjawabnya sebagai Ketua Srikandi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) di daerah itu.

“Dalam parti saya merupakan Ketua Srikandi Sepang.

“Sebagai ahli parti, saya kira kira perlu adakan program-program di kawasan kita,” katanya.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPMWKM) berkata demikian ketika mengulas sama ada beliau dinamakan sebagai calon untuk kerusi Parlimen Sepang.

Pada PRU14 lalu, Rina yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa mengalahkan calon BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad.

Beliau memperoleh 23,840 undi dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 4139 undi, manakala Johari yang juga penyandang kerusi itu mendapat 19,701 undi dan Mohamad dengan 6845 undi.

Manakala di Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Sepang selepas meraih 46,740 undi.

Mohamed Hanipa menewaskan calon BN, Datuk Marsum Paing dengan majoriti 18,705 undi.

Marsum mendapat sebanyak 28,035 undi manakala calon Pas, Sabirin Marsono memperoleh 15,882 undi.