Shahrizat kecewa kurang wanita dalam politik

in Politik by

Shahrizat

SHAH ALAM – Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa kecewa terhadap kekurangan Malaysia dalam menggalakkan penyertaan wanita dalam politik dan membuat keputusan.

Shahrizat berkata, perkara berkenaan telah dibangkitkan beliau sejak menceburi dunia politik pada 1990-an.

“Kita tidak mampu untuk bercakap perkara dan matlamat sama untuk lebih 20 tahun kemudiannya.

“Wanita telah menjadi tulang belakang politik Malaysia sejak merdeka dan sudah tiba masanya apabila kita melihat sekeliling Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kita melihat sama banyak wanita dalam dewan kuasa itu seperti yang terdapat dalam masyarakat sekarang, dan bukannya (hanya) 14 peratus ahli Parlimen wanita,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita UMNO menegaskan, pelbagai halangan yang dihadapi wanita dalam politik, seperti perlu membuktikan nilai kepada rakan politik lelaki dan mengharungi pelbagai serangan jantina.

Justeru katanya, sudah tiba masa pemimpin negara perlu mengiktiraf kebolehan wanita untuk mengemudi Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Saya gembira kerana isu wanita dalam politik menarik perhatian menjelang pilihan raya akan datang.

“Apabila kita bangkit daripada Covid-19, sudah tiba masanya untuk berimpian besar. Wanita adalah separuh daripada penduduk, pengundi dan turut terjejas sepenuhnya dengan isu-isu yang mempengaruhi negara.

“Sudah tiba masanya untuk membawa penyertaan wanita dalam politik ke peringkat seterusnya,” ujarnya.