Undang-undang larangan lompat parti berkuat kuasa esok

in Nasional by

Wan Junaidi. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Pindaan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, ia selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan tarikh 5 Oktober untuk kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

“Akta ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada dan telah diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 September,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi akta tersebut, maka pindaan bagi Seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.

“Ini seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat negeri, tertakluk perkenan sultan, tuan yang terutama atau raja negeri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang digubal dapat melindungi hak rakyat negara ini yang telah memberi kepercayaan tinggi wakil rakyat dipilih ketika proses pilihan raya.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] itu telah diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat seramai 209 orang.

Manakala diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos dengan sokongan majoriti seramai 52 orang Senator.