Bajet 2023, banjir dan PRU15. Yang mana ditunggu-tunggu?

in Analisis Sinar by

Gambar hiasan

BERBAKI dua hari lagi Bajet 2023 akan dibentangkan. Semestinya Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal menjadi perhatian seluruh rakyat yang menantikan ada atau tidak durian runtuh buat mereka.

Disebalik keterujaan menantikan pembentangan yang akan berlangsung pada Jumaat ini, timbul pula ura-ura bahawa Parlimen akan dibubarkan sehari sebelumnya ekoran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengesahkan akan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Namun Ismail Sabri dilapor memaklumkan pertemuan itu adalah rutin biasa bagi membentangkan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.

Isu pembubaran Parlimen sepanjang sebulan dua ini menjadi topik hangat diperkatakan, malah menyebabkan banyak pihak bertikam lidah mengenainya.

Kelihatan ada pihak yang seakan memaksa untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan, malah ada juga yang membantah.

Pelbagai alasan dan fakta dikemukakan, pelbagai sifir politik dikeluarkan, malah masih ada yang berteka-teki sama ada mahu bergabung atau bergerak solo.

Yang tersepit dan menjadi mangsa, sudah tentu rakyat. Manakan tidak, musim tengkujuh bakal memberi salam, maka salamnya perlu disambut walau apa juga situasi melanda.

Justeru, sudahkah kita semua terutama pengundi bersedia berdepan sahutan alam dan peperangan politik pada waktu yang sama?

UMNO pun bakal mengemukakan nama kepada kepimpinan ‘Top 5’ bagi penentuan calon yang memenuhi kriteria ‘WALI’ iaitu kebolehmenangan (winnable), kebolehterimaan (acceptable) dan disenangi (likeable) pengundi bermula Isnin depan.

Sementara itu, parti lain setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang respon mengenai penamaan calon dan sebagainya.

Jadi antara Bajet 2023, banjir dan PRU15, yang mana lebih dinanti-nantikan rakyat? Yang pasti, ramai berharap ada durian runtuh daripada kerajaan selain tumpuan juga terarah kepada persediaan menghadapi banjir. Ada yang teruja tunggu PRU15 tak?