Jabatan Penjara cadang bina penjara baharu

in Nasional by

Cadangan pembinaan baharu melibatkan penjara Alor Setar, Pulau Pinang, Taiping, Batu Gajah dan Seremban berikutan struktur asal bangunan yang semakin usang dan tidak relevan dengan keadaan semasa. – Gambar hiasan.

MELAKA – Jabatan Penjara bercadang untuk membina bangunan baharu bagi menggantikan bangunan lama berusia lebih 100 tahun yang dibina terutamanya pada era 1800-an di beberapa negeri.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, cadangan itu melibatkan penjara Alor Setar, Pulau Pinang, Taiping, Batu Gajah dan Seremban berikutan struktur asal bangunan yang semakin usang dan tidak relevan dengan keadaan semasa.

“Kita melihat ada keperluan kerana penjara-penjara ini ada yang masih menggunakan ‘Bucket System’ iaitu bilik tahanan tidak mempunyai tandas dan kalau diikutkan dalam dunia moden ini reka bentuk seperti ini tiada lagi.

“Jadi kita akan mengusulkan perkara ini untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia akan datang supaya dapat digantikan penjara-penjara lama itu sama ada membina bangunan baharu di tapak lain atau sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Telok Mas di sini pada Rabu.

Ajidin berkata, Jabatan Penjara juga menyasarkan untuk memastikan penghuni Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney mempunyai sekurang-kurangnya satu sijil atau diploma setelah mereka bebas kelak.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan satu perancangan pemulihan untuk memastikan setiap daripada mereka dapat merancang masa depan sepanjang tempoh penahanan.

“Kita akan melihat apakah kecenderungan atau minat mereka dalam mana-mana bidang sama ada pendidikan atau kemahiran sebelum mereka dibantu sama ada mengikuti program sijil jangka pendek, program sijil bersama Sijil Kemahiran Malaysia atau diploma dan seterusnya di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Seperti baru-baru ini, kita telah memeterai kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menaja 25 pesalah muda mengikuti Diploma Keusahawanan, selain kita juga mempunyai 50 penghuni melanjutkan pengajian di Asia College of Exercise Medicine (ACEM) dalam Diploma Exercise Medicine bagi kohort pertama.

Katanya, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney seluruh negara merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila berjaya mencapai gred purata 4.57 iaitu di bawah Gred Purata Nasional 4.80. – Bernama