Kemenjadian murid keutamaan SMK Saujana Utama

in Edisi by

Noor Hayati (dua dari kanan) menerima hadiah bagi Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 kategori Sekolah Menengah Luar Bandar di Hotel Concorde Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM – Kemenjadian murid dalam pelbagai bidang termasuk akademik, sahsiah dan kokurikulum merupakan keutamaan bagi kepimpinan dan warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Selangor.

Pengetuanya, Noor Hayati Embong berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak pandemik Covid-19 bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan serta meningkatkan penguasaan pembelajaran semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Noor Hayati turut melahirkan rasa terharu apabila sekolahnya memenangi Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB) bagi kategori Sekolah Menengah Luar Bandar.

“Terima kasih pada Sinar Harian kerana beri penghargaan ini dengan mengiktiraf sekolah-sekolah yang terbaik dan menepati ciri-ciri S.M.A.R.T iaitu Skil, Mahir, Atribut, Relevan dan Teknologi.

“Insya-ALLAH menerusi anugerah diterima ini akan memberi semangat kepada kami untuk terus melakukan terbaik selain memastikan kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas ASSSB di Hotel Concorde Shah Alam di sini pada Rabu.

Beliau menambah, kejayaan yang diraih itu tidak dikecapi dengan mudah sebaliknya adalah hasil kerja sepasukan dan komitmen yang padu oleh guru, pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memberikan kerjasama bagi meningkatkan pencapaian serta kejayaan sekolah.

Katanya, kepelbagaian dan penguasaan platform pembelajaran digital telah dimanfaatkan sepenuhnya semasa PdPR oleh guru dan murid.

“Kemahiran pendigitalan guru-guru bukan sahaja dimanfaatkan sepenuhnya untuk kejayaan murid, malah turut dikongsi melalui sesi webinar dengan warga pendidik lain di seluruh Malaysia,” katanya.