Mangsa banjir tinggal 19 keluarga

in Edisi Perak by

Laporan Sinar Harian pada Rabu.

IPOH – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang, di sini berkurang kepada 19 keluarga berbanding 33 keluarga pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, hanya 87 mangsa di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor yang masih kekal di PPS berkenaan.

“Mangsa yang masih kekal di PPS terdiri daripada 70 orang dewasa, sembilan kanak-kanak dan lapan orang bayi.

“Seramai 14 petugas daripada pelbagai agensi turut terlibat membantu di PPS berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada jam 8 pagi tadi, sebanyak 60 keluarga terjejas akibat banjir yang berlaku malam Selasa.

Bagaimanapun hanya 33 keluarga yang mendaftar di PPS manakala baki mangsa telah pulang ke kediaman masing-masing apabila air kembali surut dan sebahagian lagi menginap di rumah saudara mara terdekat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 93 mangsa banjir di RPT Chepor di sini dipindahkan ke PPS susulan banjir kilat yang berlaku malam Selasa.