Shu Qi pertahan kerusi Parlimen Kluang

in Politik by

Shu Qi (kiri) ketika melawat projek pelebaran simpang jalan di Kampung Melayu, Kluang pada Rabu.

KLUANG – Wong Shu Qi akan mempertahankan kerusi Parlimen Kluang yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau dijangka kekal bertanding di kerusi dimenanginya pada PRU14 kerana setakat ini masih tiada arahan daripada pucuk pimpinan DAP untuk berpindah ke kawasan lain.

“Tiada sebab untuk saya berpindah ke kawasan lain apatah lagi rakyat di Kluang masih memerlukan khidmat saya sebagai wakil rakyat.

“Namun saya akur jika berlaku pertukaran kerusi selepas penetapan kedudukan calon dikeluarkan parti nanti,” katanya kepada pemberita ketika melawat projek pelebaran simpang jalan di Kampung Melayu di sini pada Rabu.

Pada PRU14, Shu Qi menewaskan calon BN daripada MCA, Gan Ping Siew serta Hasbullah Najib daripada Pas dengan majoriti 23,053 undi.

Menurutnya, sepanjang empat tahun berkhidmat di daerah ini, beliau banyak menjalankan program yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk fokus dalam membantu meningkatkan fasiliti awam seperti sekolah dan hospital.

Shu Qi mendakwa, sejak menjadi Ahli Parlimen Kluang pada 2018, banyak perancangan dan program yang telah dirancang namun tertangguh kerana kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pandemik Covid-19.

Beliau melihat bandar Kluang mengalami banyak pembangunan tetapi masih ada beberapa infrastruktur awam yang perlu ditingkatkan seperti Jalan Kluang-Batu Pahat dan pembinaan sekolah baharu di Taman Seri Impian.

Justeru, bekas wartawan akhbar bahasa Cina itu nekad untuk terus membawa isu itu ke Parlimen jika masih diberikan peluang berkhidmat.

“Oleh itu, saya amat mengharapkan sokongan sama diberikan seperti PRU14 bagi membolehkan pelbagai perancangan pembangunan dilakukan pada masa hadapan,” kata anak kelahiran Kluang itu.