5,262 pesawah Pulau Pinang bakal terima RM500

in Edisi by

Seramai 5,262 pesawah di negeri ini yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang akan menerima Bantuan Bayaran Sara Hidup sebanyak RM500 pada bulan ini. Gambar kecil: Kon Yeow

GEORGETOWN – Seramai 5,262 pesawah di negeri ini yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang akan menerima Bantuan Bayaran Sara Hidup sebanyak RM500 pada bulan ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembayaran bantuan tersebut akan dilakukan secara ‘one-off’ kepada pesawah di negeri ini.

“Pemberian bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.6 juta. Ia akan dimasukkan terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang. Konsep pemberian sama seperti pemberian bantuan kepada nelayan sebelum ini.

“Kita berharap dengan pemberian bantuan ini, ia dapat meringankan beban yang dihadapi pesawah padi sekali gus dapat memberi rangsangan kepada pesawah untuk mengekalkan Pulau Pinang di dalam senarai teratas pengeluar padi di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada Khamis.

Kata beliau, pesawah terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalam pengeluaran beras untuk keperluan negeri dan negara.

“Antara cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuh adalah cuaca yang tidak tentu serta peningkatan kos bahan input seperti baja kimia dan agrokimia untuk tanaman.

“Faktor pandemik Covid-19 dan peperangan antara Rusia dan Ukraine turut menjadi penyumbang utama perkara ini,” katanya.

Kon Yeow berkata, data perangkaan pengeluaran padi negara tahun 2020 menunjukkan hasil purata padi di Pulau Pinang adalah sebanyak 4.831 matriks tan sehektar.

“Keluasan tanaman padi di Pulau Pinang adalah seluas 12,105.6 hektar dengan bilangan pesawah seramai 5,262 orang. Walaupun keluasan ini tidak seluas negeri lain, tetapi data perangkaan pengeluaran padi negara tahun 2020 menunjukkan hasil purata padi di Pulau Pinang adalah sebanyak 4.831 matriks tan sehektar.

“Ini melepasi purata untuk Malaysia iaitu 4.039 matriks tan sehektar. Bagi purata hasil luar musim 2021, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 5.595 matriks tan sehektar, menunjukkan peningkatan hasil padi di negeri ini adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran padi di Pulau Pinang,” kata Kon Yeow.

Ujarnya lagi, Pulau Pinang telah menunjukkan pencapaian ketiga tertinggi bagi tahun 2020 dan menyumbang kepada 61.4 peratus keperluan sara diri (SSL) di Pulau Pinang.