Dua premis diserbu curi air

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Pegawi SPAN dan Sains memeriksa penyambungan air yang dibuat di premis berkenaan.

SEREMBAN – Dua premis di Sendayan di sini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana disyaki membuat penyambungan air secara haram pada Selasa.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan di kedai perabot mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 15 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan penghuni premis.

Menurutnya, serbuan kedua di kedai dua tingkat yang sedang diubah suai juga didapati melakukan kesalahan sama untuk kegunaan proses ubah suai premis tersebut.

“Pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Pihak SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti,” katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil dan domestik.

“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW),” katanya.