Kes tipu urus niaga hartanah guna nama MB Selangor

in Edisi by

Kenyataan media PTG Selangor pada Khamis.

SHAH ALAM – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor mengesan terdapat cubaan penipuan urus niaga hartanah dengan memperdaya orang ramai menggunakan nama agensi itu termasuk melibatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

PTG Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, modus operandi yang digunakan ialah dengan penyamaran kononnya sebagai individu dilantik berurusan dengan PTG dan mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di negeri ini.

Jelas kenyataan itu, pihak terbabit juga mengeluarkan notis untuk menjual hartanah dan telah memalsukan tandatangan pada notis tersebut.

“Kita juga mengesan terdapat juga pihak menggunakan nama pegawai-pegawai kanan dan tertinggi PTG Selangor dan PDT yang masih berkhidmat mahu pun telah berpencen dengan memberikan maklumat dan janji palsu bagi urusan jual beli tanah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, PTG Selangor menegaskan tidak pernah melantik mana-mana individu mewakili pentadbiran itu bagi sebarang urusan urus niaga hartanah.

Jelas kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dan berhati-hati dengan taktik penipuan seumpama itu.

“Kebanyakan mereka menjadi mangsa penipuan melibatkan jumlah kerugian kewangan besar dan sukar mendapatkan kembali wang mereka jika telah menjadi mangsa,” tambahnya.

Kenyataan itu berkata, laporan polis mengenai kegiatan itu juga sudah dibuat bagi kes yang telah dikenal pasti agar tindakan tegas diambil.

“Pelbagai modus operandi atau faktor yang menjurus ke aras masalah penipuan itu berlaku sama ada melibatkan sindiket atau pun perseorangan,” katanya.

“Langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan tertipu ialah dengan memastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah, membuat semakan berkaitan pemilikan (tuan punya tanah), nombor hak milik atau nombor lot, nombor mukim dan saiz keluasan tanah melalui carian di PDT berkaitan atau PTG Selangor.

“Selain itu, pembeli juga perlu membuat semakan sekatan kepentingan seperti kebenaran hak milik, kaveat dan cagaran atau gadaian,” tambahnya.

Kata kenyataan itu lagi, langkah lain yang perlu dilakukan ialah memastikan wakil mempunyai surat kuasa wakil sah, mewujudkan perjanjian jual ni, selain menggunakan khidmat guaman sah dan khidmat agen hartanah berpengalaman serta berjumpa dengan pemilik tanah untuk mendapatkan pengesahan.