Malaysia-AS bincang usaha sama tingkat keupayaan TUDM

in Nasional by

Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan perbincangan secara spesifik mengenai usaha sama ke arah meningkatkan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata, perbincangan itu dibuat menerusi perbualan telefon bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd J. Austin III pada Rabu dan kedua-dua pemimpin itu senada bahawa masih terdapat ruang untuk memperkasakan lagi kerjasama berkenaan menerusi konsep ‘Membina Kapasiti Rakan Kongsi’.

“Kerjasama pertahanan Malaysia-AS kini pada tahap amat kukuh. Baru-baru ini sahaja AS menyumbang peralatan perubatan kepada Kor Kesihatan Diraja bernilai AS$3 juta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook peribadinya pada Khamis.

Hishammuddin berkata, secara keseluruhannya AS telah menyumbang lebih AS$200 juta untuk meningkatkan keupayaan pertahanan Malaysia.

“KD Lekir (Kapal Diraja) juga baru pulang selepas diberi penghormatan sertai eksesais #RIMPAC2022 (the Rim of the Pacific Exercise) di Hawaii,” katanya.

Menerusi perbualan telefon itu juga, Hishammuddin berkata, beliau dan Austin turut mengambil peluang bertukar-tukar pandangan mengenai isu keselamatan semasa termasuk mengenai Laut China Selatan dan konflik Ukraine-Rusia.

“Sebelum mengakhiri perbualan, saya menjemput beliau ke #LIMA2023 (Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi) tahun hadapan termasuk penglibatan U.S. Navy Blue Angels,” katanya.

Sementara itu, Austin dalam kenyataan yang disiarkan di Twitternya berkata, mereka turut membincangkan peluang untuk penjajaran lanjut antara AS dan Malaysia ketika kedua-dua negara mengejar visi bersama mengenai Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai beberapa peristiwa penting dalam kerjasama pertahanan AS-Malaysia, termasuk penyempurnaan perjanjian Pertahanan/POW-MIA (tawanan perang yang hilang dalam tindakan) pada Ogos, dan berusaha untuk melengkapkan perjanjian baharu bagi membentuk kerjasama pertahanan menjelang akhir tahun.

“AS bersedia untuk memperluaskan kerjasama dengan Malaysia melalui pendekatan lebih dalam dan bermakna yang akan melindungi kedaulatan dan kemerdekaannya, termasuk melalui sokongan untuk pembangunan keupayaan Malaysia dan perkongsian maklumat.

“Mereka mengesahkan kerjasama dalam pelbagai inisiatif pertahanan konkrit dan inovatif bertujuan memastikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” menurut kenyataan itu. – Bernama.