Perkongsian data lancar urusan bantu rakyat

in Edisi by

Sallehuddin Ishak (dua dari kiri) dan Yuserrie (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU yang ditandatangani di sebuah hotel di Cherating, di Kuantan pada Rabu. – Foto Pahang Media

KUANTAN – Kejayaan Pahang menyelesaikan pemberian bantuan banjir kepada semua mangsa di negeri ini adalah hasil kerjasama perkongsian data yang efisien antara pihak-pihak berkaitan.

Pahang Media melaporkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, pencapaian itu dimantapkan lagi dengan inisiatif Teras Pemerkasaan Modal Insan dan Tadbir Urus Pendigitalan dalam Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

Menurutnya, melalui inisiatif analitis data raya itu, kerajaan negeri mendapat faedah terutamanya dari aspek perancangan dan pemantauan yang lebih tepat dan berfokus.

“Perkhidmatan kepada rakyat tanpa sempadan sama ada perkhidmatan biasa mahupun kritikal yang dilalui setiap tahun seperti bencana, pandemik dan sebagainya.

“Beberapa tahun kebelakangan, hasil kerjasama erat di peringkat jabatan, kita berjaya melalui situasi kritikal pandemik kerana tumpuan perkhidmatan hanya kepada rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan Pahang Media.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini pada Rabu.

Sallehuddin turut berkata, kerjasama yang terjalin akan lebih bermakna sekiranya semua pihak dapat berkongsi maklumat.

“Misalnya dalam menyelesaikan isu penerima bantuan banjir, kita lihat perlunya perkongsian data berkaitan antara jabatan supaya prosesnya berjalan lancar,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Sallehuddin berkata, melalui MoU khidmat perundingan dan kepakaran dengan UMP dapat membantu meningkatkan kemahiran dan potensi pegawai-pegawai di bawah pentadbiran kerajaan negeri untuk melaksanakan serta meneruskan inisiatif data raya ini pada masa akan datang.

Beliau berkata, selain kerjasama dalam bidang analitis data raya, ia juga melibatkan penempatan Pusat Pemulihan Bencana (DRC) Negeri Pahang yang baharu secara kolokasi dari Kompleks Tun Razak (Komtur) Indera Mahkota ke premis UMP di Pekan.

“Pelaksanaan ini diharapkan dapat melancarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya.